Friday, July 8, 2011

Politik “RoboCop”


Jika orang Islam berpolitik secara Islam, maka sudah tentu dunia politik yang kerap disifatkan sebagai “a dirty game” itu mampu diBERSIHkan. Bukankah Islam itu umpama air mutlak? Sifatnya BERSIH & memBERSIHkan.

Islam akan ‘mengislahkan’ seluruh aktiviti manusia termasuk politik. Justeru, jika matlamat, kaedah & isi yang diperjuangkan oleh parti-parti politik yang majoriitnya dianggotai oleh orang Islam kini benar-benar Islamik, sudah tentu natijahnya lebih indah, harmoni & baik.

Anehnya, hal ini tidak berlaku. Wajah politik orang Islam menjadi semakin kotor & busuk! Politik sekarang adalah politik “RoboCop” –berpolitik tanpa hati & perasaan. Soal iman & akhlak seolah-olah dilupakan. Ironinya, kita terasa malu dengan orang bukan Islam kerana cara mereka berpolitik ada kalanya kelihatan lebih BERSIH.

Persoalannya, bagaimana kita boleh mendapat pemimpin-pemimpin yang baik jika proses untuk mendapatkannya sudah kotor & dicemari? Realitinya, rakyat kini semakin bimbang & bingung melihat sepak terajang ahli-ahli politik yang semakin meminggirkan nilai adab & akhlak.

Padahal politik dalam Islam adalah BERSIH. Urusan kepimpinan hakikatnya adalah amanah daripada Allah kepada setiap manusia. Rasululah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Setiap kamu adalah penggembala (pemimpin) & setiap penggembala akan ditanya tentang gembalaanya.” (Muttafaq ‘alaih)

Sering diungkapkan, sikap adil seorang pemimpin lebih utama daripada ibadah seorang abid. Malah pemimpin yang adil akan mendapat naungan Arasy di akhirat kelak.

Tegasnya, urusan kepimpinan menurut Islam adalah manhaj (jalan) untuk menegakkan ubudiyyah kepada Allah s.w.t. melalui khidmat sesama manusia. Dari segi istilah, politik bermakna “the arts & science of government”. Atau “siasah” dalam bahasa Arab berasal dari kata dasar yang bermakna “to lead, to guide, to conduct, to direct”.

Pemimpin mewarisi tugas Rasulullah s.a.w. untuk memimpin manusia & menyelamatkan nasib mereka, bukan hanya di dunia bahkan di akhirat. Bukan sahaja untuk mendapat kesenangan fizikal & material bahkan juga ketenangan & kebahagiaan rohani.

Begitu BERSIHnya matlamat politik & begitulah hendaknya, BERSIH jugalah kaedah kita berpolitik. Bagaimana berpolitik dengan cara yang BERSIH?

Jawabnya, ia mesti ditunjangi oleh aqidah yang mantap, dipantau oleh syariat & dihiasi dengan akhlak. Tanpa pemantapan elemen-elemen ini dalam diri ahli-ahli politik, urusan kepimpinan pasti akan diseleweng. Lihat sahaja apa yang dipaparkan oleh media massa cetak @ elektronik. Ibu bapa yang benar-benar berjiwa Islamik sudah berasa tidak selamat, malu & bimbang apabila berita & cerita negatif mula dipaparkan untuk tatapan umum.

Politik bukanlah gelanggang perebutan kuasa, politik wang, pertelagahan, pembelotan, kata-mengata, cerca-mencerca & fitnah-memfitnah. Malangnya, wajah itulah yang semakin mendominasi dunia politik kini sehingga hampir-hampir diterima sebagai satu budaya. Walaupun dalam arus politik perdana, persaingan & pertandingan tidak dapat dielak, tetapi persaingan & pertandingan itu boleh dilaksanakan secara sihat & BERSIH.

Apa yang penting adalah memberi penerangan & penjelasan tentang matlamat atau apa yang hendak kita perjuangkan. Boleh mengkritik, menegur malah menyalahkan pihak lain tetapi hendaklah dalam batas-batas syariat & akhlak Islamiah. Baik sesama rakan separti atau dengan parti lawan, kita seharusnya menjaga diri agar tidak dirasuk oleh sifat-sifat mazmumah seperti hasad dengki, dendam, marah, tamak dan lain-lain.

Untuk mendapatkan kedudukan atau pangkat tidak salah, tetapi dapatkanlah dengan cara bekerja keras, bukan dengan cara mengampu, menyogok atau mengancam. Ingatlah selalu, kuasa itu amanah. Ia adalah alat bukan matlamat. Setiap amanah akan dipersoalkan di akhirat nanti. Jadi, pikullah amanah itu dengan rasa takut kepada Allah & gerun akan neraka.

Jika kita yakin adanya hari akhirat, pembalasan syurga & neraka, maka kita akan mudah berkasih-sayang. Iman itu sinonim dengan persaudaraan. Dan InsyaAllah, apabila persaingan tamat, semua pihak seharusnya kembali bersatu demi meneruskan agenda membangunkan ummah sama ada dalam kerajaan @ pembangkang. Majoriti 2/3 dan minority 1/3 akan bertaut semula menjadi satu (3/3 = 1) demi kebaikan rakyat.

Tetapi perbezaan tetap ada, namun titik persamaan masih banyak dan masih boleh diperjuangkan bersama-sama!

Sumber : SOLUSI – Isu No. 31 – Halaman 3

No comments:

Post a Comment