Sunday, July 24, 2011

Al-Qaradhawi desak negara Arab awasi Israel


Oleh: Abdel Rahman Abu Rumi

Tunis: Pendakwah terkemuka, Syeikh Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi mengingatkan negara-negara Arab agar sedar dan serik dengan tipu helah Yahudi terhadap isu Palestin yang sudah memakan masa tempoh yang berpanjangan yang seolah-olah tidak ada petunjuk kepada penghujung krisis tersebut.

Golongan Yahudi ini katanya, sudah menipu umat Islam khususnya rakyat Palestin kerana masih tidak mahu berganjak dari bumi Palestin sampai ke hari ini, malah menyusahkan rakyat negara itu dengan membina tembok pemisah yang tidak sah oleh PBB dan masyarakat antarabangsa, malah bantahan itu tidak didedahkan oleh mereka.

Beliau bercakap dalam satu persidangan anjuran Yayasan al-Quds di Tunisia dan beliau juga merupakan pengerusinya sambil memberi teguran agar persidangan kemuncak Arab yang berlangsung di negara berkenaan baru-baru ini lebih waspada agar tidak memberi kelonggaran dan bersekongkol dengan Zionis itu seperti apa yang dilakukan oleh Muammar Gaddafi yang berketurunan Yahudi.

Secara tegas beliau menyebut, pihaknya tidak dapat menerima apa jua alasan terdapat negara Arab yang masih mahu berbaik-baik dengan Israel, kerana kita tidak mahu masuk lubang biawak dua kali seperti yang pernah diingatkan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadisnya sebagai peringatan kepada sahabat dan umatnya.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Ulama Islam Antarabangsa yang beribu pejabat di London, selanjutnya menegaskan bahawa beliau berasa kecewa yang amat sangat kerana Mesir pada era Hosni Mubarak dan Jordan mengadakan rundingan damai dengan Israel sementara itu terdapat pula negara-negara Arab yang masih meneruskan hubungan diploamtik dengan Israel, sedangkan pada masa yang sama, Israel mencabuli hak rakyat Palestin dengan pelbagai bentuk perlakuan yang boleh disifatkan sebagai biadab.

Beliau berterima kasih kepada pihak berkuasa sementara Tunisia yang sudi menjadi tuan rumah persidangan penting itu bagi mengingatkan negara-negara arab agar meletakkan Islam lebih penting daripada habuan dunia yang melalaikan, kesedaran timbul kerana kejahatan mantan presiden yang menyimpang jauh daripada Islam. -Rayig.com

Sumber: Harakah - Bil 1660 (25-28 Syaaban 1432)

No comments:

Post a Comment