Monday, October 3, 2011

Cintai Allah Hidup Jadi Indah


Ada orang kata, cinta ini ibarat garam di dalam masakan. Jika garam tiada langsung, maka makanan menjadi tawar dan kurang enak. Jika berlebihan pula, makanan menjadi terlalu masin dan tidak sedap. Maka yang sebaiknya gunakanlah secara sederhana, maka makanan menjadi lebih sedap dan menyelerakan.

Jika kita tiada langsung cinta, maka hidup kita tidak akan bermakna. Hidup kita akan menjadi 'tawar', kosong dan tidak menggembirakan. Bagi kita yang hidup sering diulit cinta, mungkin kurang terkesan dengan kata-kata ini, tetapi bagi mereka yang hidup tanpa cinta, dia akan mengakui kebenaran bicara ini. Sebaliknya, jika berlebihan pula, maka cinta itu akan memusnahkan diri.

Emosi biasanya akan memusnahkan pemikiran. Namun, jika cinta itu dikawal, disalurkan dengan saluran yang betul, maka hidup akan menjadi indah dan menyenangkan.

Al-Mutanabbi ada berkata,
"Cinta itu lebih tua daripada alam ini, kerana atas dasar cintalah Tuhan menciptakan alam ini"

Justeru, seseorang itu tidak hidup sebenarnya, jika hidupnya tidak mempunyai cinta. Kehidupan dan cinta nyata mempunyai ikatan yang erat. Tiadalah kehidupan itu tanpa cinta sebenarnya. Sebab itu manusia bisa mengatakan bahawa cinta itu adalah fitrah.

Kalau tidak percaya, cuba perhatikan kata-kata manusia terdahulu yang mengaspirasi cinta. Bukan setakat itu sahaja, bahkan kita akan dapat melihat betapa manusia di sekeliling kita memandang cinta dengan pandangan yang mulia dan tinggi.

Antara kata-kata orang terkemuka mengenai cinta;
"Jika bahagia cinta dapat diwujudkan dalam perkahwinan, maka terciptalah syurga di atas dunia ini." (William Shakespeare)

"Cinta itu tidak melihat dengan mata, tetapi dengan fikiran." (William Shakespeare)

"Cinta bukan mengajar kita lemah, tetapi membangkitkan dengan kekuatan, cinta bukan mengajar menghinakan diri, tetapi menghembuskan kegagahan, cinta bukan melemahkan semangat, tetapi membangkitkan semangat." (Hamka)

Cinta itu lekatnya dalam hati dan jiwa. Untuk mendapat kehidupan yang indah, kita perlu hidupkan hati dan jiwa kita dengan rasa cinta yang memekar. Timbul persoalan, cinta apakah yang mesti kita hidupkan?

Banyak orang apabila berbicara mengenai cinta, maka akan merujuk kepada cinta sesama manusia. Itulah cinta yang diagungkannya. Namun, cinta kepada manusia itu hanyalah sebahagian daripada cinta kelas pertengahan. Sebenarnya, terdapat satu cinta yang agung, jika kita dahulukan cinta itu, maka segala cinta menjadi cinta yang agung juga.

Itulah dia cinta kepada Allah SWT.

"Cinta itu suci, cinta itu tidak buta, cinta itu kepunyaan Allah semata-mata. Yang tidak suci dan buta hanyalah orang yang salah menggunakan cinta." (Hamka)

Adakah anda ingin membuatkan kehidupan anda menjadi lebih bermakna?
Adakah anda ingin cinta membuahkan bahagia?
Bahagia dunia & akhirat sekaligus?
Apa kata kita pergi mencari cinta......
Cinta yang sebenar-benar cinta.......

Hilal Asyraf - Kembara Hamba Mencari Cahaya

No comments:

Post a Comment