Friday, July 13, 2012
PROGRAM UNICNYA RAMADHAN BERSAMA UNIC
Monday, March 12, 2012
Biodata Ringkas Imam Syafie Pengasas Mazhab Syafie
Kitab ilmu yang paling terkemuka pada ketika itu ialah al-Muwattha’ karangan Imam Malik bin Anas, dan Imam as-Syafi’e dalam usia 15 tahun telah pun menghafal keseluruhan kitab tersebut. Imam as-Syafi’e kemudiannya berhijrah ke Madinah untuk berguru pula dengan penulis kitab itu sendiri, yakni Imam Malik bin Anas. Ketika itu Imam as-Syafi’e baru berumur 20 tahun dan beliau terus duduk bersama Imam Malik sehinggalah kewafatannya pada tahun 179H/796M. Ketokohan Imam as-Syafi’e sebagai murid terpintar Imam Malik bin Anas mulai diiktiraf ramai. Imam as-Syafi‘e mengambil alih sebentar kedudukan Imam Malik bin Anas sebagai guru di Masjid Nabawi di Madinah sehinggalah beliau ditawarkan satu kedudukan jawatan oleh Gabenor Yaman. Jawatan Imam as-Syafi’e di Negeri Yaman tidak lama keranaImam Syafie telah difitnah sebagai pengikut mazhab Syi‘ah. Selain itu pelbagai konspirasi lain dijatuhkan ke atasnya sehinggalah beliau dirantai dan dihantar ke penjara di Baghdad, yakni pusat pemerintahan Dinasti Abbasid ketika itu.
Imam as-Syafi’e dibawa menghadap kepada Khalifah Harun ar-Rashid dan beliau berjaya membuktikan kebenaran dirinya. Kehandalan serta kecekapan Imam as-Syafi’e membela dirinya dengan pelbagai hujjah agama menyebabkan Harun ar-Rashid tertarik kepadanya. Imam as-Syafi’e dibebaskan dan dibiarkan bermastautin di Baghdad. Di sini Imam as-Syafi’e telah berkenalan dengan anak murid Imam Abu Hanifah dan duduk berguru bersama mereka, terutamanya Muhammad bin al-Hasan as-Syaibani. Suasana ini memberikan kelebihan yang penting bagi Imam as-Syafi’e, iaitu beliau berkesempatan untuk belajar dan membanding antara dua ajaran Islam, yakni ajaran Imam Malik bin Anas dan ajaran Imam Abu Hanifah.
Pada tahun 188H/804M, Imam as-Syafi’e berhijrah pula ke Mesir. Sebelum itu beliau singgah sebentar di Makkah dan di sana beliau diberi penghormatan dan dipelawa memberi kelas pengajian agama. Imam as-Syafi’e kini mula diiktiraf sebagai seorang imam dan beliau banyak meluahkan usaha untuk cuba menutup jurang perbezaan di antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah. Usahanya ini tidak disambut baik oleh para penduduk Makkah kerana kebiasaan mereka adalah kepada ajaran Imam Malik bin Anas.
Pada tahun 194H/810M, Imam as-Syafi’e kembali semula ke Baghdad dan beliau dipelawa untuk memegang jawatan Qadhi bagi Dinasti Abbasid. Beliau menolak dan hanya singgah selama 4 tahun di Baghdad. Imam as-Syafi’e kemudian kembali ke Mesir dan memusatkan ajarannya di sana pula. Daud bin ‘Ali pernah ditanya akan kelebihan Imam as-Syafi’e berbanding tokoh-tokoh lain pada ketika itu, maka beliau menjawab: “As-Syafi‘e mempunyai beberapa keutamaan, berkumpul padanya apa yang tidak terkumpul pada orang lain. Beliau seorang bangsawan, beliau mempunyai agama dan i’tiqad yang sebenar, seorang yang sangat murah hati, mengetahui hadith sahih dan hadith dhaif, nasikh, mansukh, menghafal al-Quran dan hadith, perjalanan hidup para Khulafa’ ar-Rashidin dan amat pandai pula mengarang.”
Dalam usahanya untuk cuba menutup jurang perbezaan antara ajaran Imam Malik bin Anas dan Imam Abu Hanifah, Imam as-Syafi’e menghadapi banyak tentangan daripada para pengikut Mazhab Maliki yang amat taksub kepada guru mereka. Pada satu malam, dalam perjalanan balik ke rumah dari kuliah Maghribnya di Mesir, Imam as-Syafi’e telah diserang dan dipukul orang sehingga menyebabkan kematiannya. Pada ketika itu Imam as-Syafi’e juga sedang menghadapi penyakit buasir yang agak serius.
Imam as-Syafi’e meninggal dunia pada 29 Rejab tahun 204H/820M di Mesir ketika berumur 54 tahun (Hijrah). Beliau meninggalkan kepada dunia Islam sebuah kitab yang paling agung dalam bidang usul fiqh berjudul ar-Risalah. Kitab ini adalah yang terawal dalam menyatakan kaedah-kaedah mengeluarkan hukum daripada sesebuah nas al-Qur’an dan as-Sunnah. Selain itu Imam as-Syafi’e juga meninggalkan kitab fiqhnya yang termasyhur berjudul al-Umm. Ajaran Imam as-Syafi’e diteruskan oleh beberapa anak muridnya yang utama seperti Abu Yaaqub al-Buwayti (231H/846M), Rabi’ bin Sulaiman al-Marali (270H/884M) dan Abu Ibrahim bin Yahya al-Muzani (274H/888M).
Sumber: Syahirul | Koleksi Imam Mazhab Melayukini.net
Wednesday, February 1, 2012
KEGAGALAN BN URUS BANTUAN RAKYAT
OLEH : HAFIZ ZAINUDDIN
Sama ada rakyat gembira, skeptik, bersyukur atau apa pun, Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang memberi RM500 seorang telah dan sedang diagihkan mengikut beberapa fasa.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak melihat bahawa bantuan ini dapat menaikkan moral penyokong dan imej pentadbiran beliau yang semakin buruk dengan pelbagai pembongkaran skandal.
Pemberian bantuan ini melibatkan anggaran kos RM2.6 bilion meliputi sekurang-kurangnya 79.5% isi rumah negara ini. Belanjawan 2012 yang lalu turut memperuntukkan sejumlah besar RM790 juta baucar buku bagi pelajar sekolah, penuntut IPT awam dan swasta.
Kita amat mengalu-alukan inisiatif sebegini. Ia duit rakyat dari cukai rakyat dan hasil sumber negara. Ia bukan duit poket mana-mana parti.
Tanda soal besar yang berlegar di fikiran rakyat ialah kenapa pemberian one-off seperti ini merupakan yang pertama kali setelah 54 tahun negara merdeka walhal ekonomi Malaysia tidaklah sestabil seperti dulu.
Apa lagi dengan jumlah defisit negara mencatatkan kenaikan mendadak dari RM217 bilion pada tahun 2004 kepada RM437.2 bilion seperti yang dicatatkan sehingga Jun 2011.
Umpan PRU ke-13
Seperti mana yang rakyat jangkakan, adakah durian runtuh ini ikhlas dari kerajaan atau pun semata-mata umpan untuk PRU ke-13? Apakah dengan bantuan ini juga rakyat boleh berasa lega dengan keadaan perbelanjaan isi rumah yang semakin meningkat? Lagi pun pemberian ini ‘berkala’ dan bukannya setiap bulan.
Mungkin juga pemberian bantuan one-off ini adalah bantuan once in a whole life, sekali seumur hidup.
Kita sendiri boleh menilai sejuh mana keberkesanan pemberian ini dalam menangani masalah ‘duit poket’ rakyat dan kemiskinan bandar yang semakin meruncing.
Banyak lagi isu terdahulu yang harus diselesaikan dengan kadar segera oleh kerajaan. Kajian Perolehan Pendapatan oleh Kementerian Sumber Manusia pada 2009 yang menunjukkan bahawa 34% daripada 1.3 juta pekerja di negara ini menerima pendapatan di bawah garis kemiskinan iaitu dibawah RM720 sebulan.
Kita percaya pada tahun 2012, peratusan pekerja yang berpendapatan di bawah garis kemiskinan akan meningkat selagi kerajaan tidak melaksanakan gaji minimum seperti yang diperjuangkan oleh kesatuan-kesatuan pekerja dan Pakatan Rakyat.
Ini tidak lagi melibatkan masalah pelajar dan kos pendidikan tinggi di Malaysia yang boleh dilihat sebagai sebuah ‘kilang cap duit.’
Tambah lagi masalah…
Sedangkan masalah lama belum mampu diatasi, ia ditambah pula dengan isu bantuan one-off ini yang berbangkit.
Yang pertamanya melibatkan ketelusan dan kaedah penilaian penerima bantuan. Keduanya ialah, bantuan ini seolah-olah menggalakkan lagi budaya konsumerisme melampau yang tidak sihat di kalangan warga.
Budaya konsumerisme bermaksud keasyikan masyarakat membeli-belah. Memang ia hak bebasan individu tetapi apabila yang tidak mampu memaksa diri berbelanja kerana tekanan psikologi persekitaran, ia boleh menimbulkan krisis kemasyarakatan.
Lihat sahaja kedai-kedai buku sekitar pusat membeli-belah utama dan sebagainya yang menerima baucar RM200 pelajar, bukan sahaja digunakan untuk membeli bahan rujukan tetapi juga majalah dan komik-komik kegemaran sekali gus mencipta ‘keperluan-keperluan baru’.
Kita juga digemparkan dengan penjualan baucar buku di internet, malah ada juga yang menggunakan wang bantuan RM500 tersebut untuk menukar telefon bimbit baru dan sebagainya.
Jika kerajaan benar-benar ingin membantu rakyat yang kurang berkemampuan, mengapakah bantuan ini tidak disalurkan melalui agensi-agensi yang berkaitan seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Baitulmal, rumah-rumah kebajikan dan sebagainya? Apakah kerajaan sendiri tidak yakin dengan kemampuan agensi-agensi tersebut mengurus dana yang diamanahkan?
Atau, cukuplah dengan menurunkan takrif elektrik dan kadar petrol semasa sen, seluruh negara akan bergembira. Jika kapitalis penjana kuasa bebas (IPP) boleh mendapat subsidi kerajaan, mengapa tidak rakyat jelata?
Dengan kadar rakyat yang muflis dan penggangguran yang semakin meningkat, ditambah lagi dengan kebanjiran pendatang asing, kenaikan harga barang keperluan, kebocoran dana awam, gejala rasuah dan salah guna kuasa, defisit negara yang meningkat lebih 50% dari KDNK; kita hanya mampu menggeleng kepala sebelum merumuskannya di atas kertas undi.
Ternyata, inisiatif bantuan rakyat ini tempang dengan segala masalah ‘lepas pandang’ dan retorik semata-mata untuk meraih sokongan rakyat yang semakin merosot terhadap Barisan Nasional dan kepimpinan Najib. –